Thursday, November 21, 2013

KERAJAAN NEGERI SEHARUSNYA MENGUMUMKAN GAJI LEMBAGA PENGURUS DAGI PERBADANAN JOHOR DAN SEMUA ANAK SYARIKATNYA.





PETIKAN DAN ULASAN PERBAHASAN BAJET 2014 YB. CHEN KAH ENG, ADUN STULANG, JOHOR DI DEWAN NEGERI JOHOR KE-13 MENGENAI :

KERAJAAN NEGERI SEHARUSNYA MENGUMUMKAN GAJI LEMBAGA PENGURUS DAGI PERBADANAN JOHOR DAN SEMUA ANAK SYARIKATNYA.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor baru-baru ini, soalan saya berkenaan dengan gaji yang diterima oleh setiap ahli lembaga pengarah bagi Damansara Asset Sdn Bhd dan SAJ Holding untuk tahun kebelakangan ini telah ditolak oleh Dewan atas sebab perkara yang dibangkitkan adalah rahsia.

Nampaknya, Kerajaan Negeri Johor tidak berani mengumumkan jumlah gaji yang telah diterima oleh mereka. Apakah masalahnya sehingga maklumat tersebut tidak boleh diketahui umum? Adakah Kerajaan Negeri mempunyai maklumat yang cuba disembunyikan?

Sebenarnya, syarikat-syarikat tersebut merupakan syarikat seliaan kerajaan negeri dan urusan yang mereka libatkan adalah berkait rapat dengan rakyat dan pembangunan johor. Gaji kita sebagai Ahli Dewan negeri, Barisan Exco, Menteri Besar, Speaker dan sebagainya boleh diumumkan dan bukannya rahsia. Mengapakah jumlah gaji syarikat yang diterima oleh Lembaga Pengarah dan Pengurus Kanan tersebut diklasifikasikan sebagai rahsia?

Lebih-lebih lagi apabila mereka telah ditegur dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012. Contohnya, semakan audit mendapati Damansara Asset Sdn Bhd, iaitu anak syarikat Perbadanan Johor telah belanja lebih dalam projek ubahsuai Plaza Kotaraya Johor Bahru, iaitu dari kos anggaran awal sebanyak RM19 juta melonjak ke RM41.27 juta.

Selain itu, syarikat tersebut juga lewat dalam projek ubahsuai Komtar Johor Bahru, iaitu lewat sebanyak 24.12% sehingga September 2013.

Dalam tadbir urus juga, ia juga bermasalah dalam pembayaran dividen kepada kerajaan negeri. DASB tidak membuat bayaran dividen kepada Perbadanan Johor pada tahun 2009 hingga 2011 atas saham biasa.

Banyak tunggakan sewa daripada penyewa yang tidak aktif bagi bangunan milikan syarikat lain yang diuruskan oleh DASB juga tidak dapat dikutip. Sementara itu, perjanjian perkhidmatan antara DASB dengan syarikat perkhidmatan telah tamat tempoh dan tidak diperbaharui.
Adakah syarikat dengan prestasi sebegini, kita tidak berhak tahu gaji mereka yang menguruskan syarikat ? Adakah gaji mereka terlalu tinggi sehingga Kerajaan Johor rasa tertekan untuk mengumumkan kepada orang awam?

Selain itu,Untuk Perbadanan Islam Johor pula, Laporan Ketua Audit Negara 2012 juga mendapati terdapat kekurangan dalam pengurusan syarikat Insist Amilat Sdn. Bhd. Perolehan IASB sebagai agen insurans adalah tidak menggalakkan di mana lebih 95% daripadanya adalah menerusi pelantikannya sebagai agen kerajaan Johor dan tiada usaha konkrit untuk memperluaskan sumber daripada agensi bukan kerajaan. Didapati IASB tidak menyediakan pelan pemasaran insurans secara agresif, sebaliknya terlalu fokus dalam memasarkan kepada Jabatan, pihak berkuasa tempatan, Badan Berkanun dan syarikat kerajaan.

Laporan audit juga mendapati kawalan kredit IASB yang lemah telah mengakibatkan jumlah hutang lapuk yang tinggi. kawalan kredit IASB terlalu longgar, iaitu bayaran premium yang didahulukan kepada syarikat insurans takaful bagi pemegang polisi tidak dapat dipungut balik.

kelemahan di atas pasti mempengaruhi pendapatan syarikat tersebut. Rakyat tidak mahu melihat pengurusan syarikat tersebut menerima gaji yang tidak setimpal dengan prestasi kerja mereka. lantaran itu, pengumuman gaji mereka kepada orang awam akan memberikan tekanan yang wajar kepada mereka yang menguruskan syarikat tersebut. Mereka yang dipatau dari sudut ini akan cuba sedaya upaya untuk meningkatkan prestasi mereka agar tidak ditegur oleh rakyat.

Pada pendapat saya , Perbadanan Johor dan Perbadanan Islam Johor dan semua anak-anak syarikat di bawahnya perlu mengumumkan gaji mereka kepada orang awam supaya prestasi mereka boleh dipantau oleh rakyat Johor. Lebih-lebih lagi urusan syarikat tersebut berkait rapat dengan pembangunan JOHOR.

Mereka yang memegang jawatan tinggi juga akan lebih berhti-hati dalam segala urusan dan keputusan yang mereka buat, kerena mereka tahu mereka sentiasa dipantau dan mesti bertanggungjawab terhadap kesilapan, ketidak-cekapan, kecuaian, pembaziran, kelewatan, penyelewengan dan segala bentuk kelemahan.

Kumpulan Perbadanan Johor mencatatkan perolehan tahunan 2012 yang menjangkau angka RM5.64 billion dengan Liabiliti setinggi RM8.437 billion. Selain itu, jumlah ekuiti yang dipegang sudah mencecah angka RM5.802 billion. Jadi, rakyat berhak mengetahui gaji mereka yang mengurus syarikat tersebut kerana ia melibatkan angka yang tinggi.


Kita tidak mahu melihat kesilapan demi kesilapan dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara dan tiada sebarang usaha dan tekad yang konkrit untuk menyelesaikan masalah. Rakyat tidak mahu melihat kesilapan sebegini berulang lagi setiap tahun yang mengakibatkan kerugian wang ringgit. Jika, ketelusan yang tinggi dipraktikkan dari segi maklumat gaji mereka, saya pasti, mereka akan lebih bertanggungjawab dan berhati-hati dalam urus tadbir.

Sekiranya pendapatan mereka yang merangkumi gaji, bonus, imbuhan tetap, elaun, dividen dan sebagainya bukan diklasifikasikan sebagia rahsia dan diketahui umum, maka prestasi Perbadanan Johor pasti akan meningkat. Peningkatan prestasi ini secara lansung akan memanfaatkan Kerajaan dan rakyat Johor. Justeru itu, janganlah jadikan gaji Perbadanan Johor dan anak-anak syarikatnya sebagai rahsia.

No comments:

Post a Comment